Pilih satu Halaman

Setiap orang yang lahir atas dunia inginkan kejayaan. Dari awal usia persekolahan lagi kita sudah di dedahkan dengan erti sebuah kejayaan. Baik dari Ibu bapa, guru, saudara mara, rakan-rakan dan sesiapa sahaja, pasti akan memberi nasihat untuk kita jadi orang yang berjaya. Kehidupan mesti diteruskan, ilmu mesti digali dan dipraktikkan dalam kehidupan agar kita dapat menaiki puncak kejayaan.

Berikut ada 5 ciri orang berjaya yang dapat diaplikasikan dalam usaha kita mengejar sebuah kejayaan.

1. KEYAKINAN DIRI

Kejayaan dipacu oleh keyakinan yang jitu. Keyakinan diri menjadi tanda aras kepada permulaan sebuah kejayaan. Orang berjaya bergerak seiring dengan keyakinan atas setiap tindakan yang diambil. Keyakinan itu bermula dalam minda, kembangkan minda dengan keyakinan bahawan kita boleh! Bercakap dengan diri menggunakan bahasa komitmen. Buang bicara yang krik krik dan lontarkan keyakinan melalui tindakan.

Antara tip untuk tingkatkan keyakinan diri adalah

  • Yakin Allah sentiasa bersama kita. Nabi sebut, “Jagalah hak Allah, Allah akan jaga hak kita! Jagalah hak Allah, Allah akan sentisa ada dihadapan kita!. Apabila diri yakin Allah sentiasa bantu maka diri akan lebih yakin.
  • Cari Ilmu. Jangan berhenti belajar selagi nyawa dikandung badan. Berhenti belajar bermakna mati sebelum mati. Usah jadi zombi kehidupan. Terdapat 3 proses penting berkaitan ilmu.
    • 1. Sebelum mencari ilmu. Ilmu itu umpama emas yang perlu digali. Usaha dan komitmen adalah mahar ilmu. Ilmu tidak datang meminang diri yang tiada keinginan untuk bijak. Usah berkira untuk melabur yuran kebijaksanaan kerana ia akan menyelamatkan kita dari terpaksa membayar Yuran Kebodohan.
    • 2. Sewaktu mencari ilmu. Perlu ada guru yang membimbing dan mengajar kita agar tidak tersesat memilih jalan. Ilmu bernilai apabila adanya berkat. Berkat ilmu diperolehi dengan jalan adab. Bila ilmu itu berkat maka mudahlah untuk dihadam.
    • 3. Selepas dapat ilmu. Bila dah faham ilmu, maka cepat-cepat buat. Usah tangguh lama-lama kerana nanti kita akan lupa. Ilmu tanpa amal umpama pokok tanpa buah. Langsung tak bagi sebarang hasil. Amal sehingga pandai, kemudian kongsikan pula kepada orang lain yang memerlukannya. Semakin banyak kita kongsi semakin bijak diri kita jadi.

2. KEJUJURAN

Jujur adalah sifat mulia yang ada pada diri orang berjaya. Orang jujur selalu kehadapan dalam apa jua bidang. Jujur umpama magnet kepada kejayaan. Jujur membuatkan diri seseorang disukai orang ramai. Antara tanda seseorang itu jujur adalah :

  • Dia takut untuk berbohong walaupun perkara kecil.
  • Melakukan setiap perkara mengikut aturannya.
  • Sentiasa mengakui kesilapan diri.
  • Bertanggungjawab atas setiap amanah.
  • Mudah memohon kemaafan kepada orang lain.

Sifat jujur juga adalah tuntutan agama. Dalam sebuah hadis, Nabi ada menyebutkan berkaitan perihal kejujuran dan kenapa pentingnya kejujuran pada diri seseorang.

Dari Abu Hurairoh bahwasanya ia berkata, Rasulullah SAW bersabda:

آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلاَثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ

“Tanda munafik ada tiga, jika berkata ia berdusta, jika berjanji ia ingkar dan jika diberi amanat ia khianat” (Mutaffaqun ‘alaihi)

Betapa tercelanya perbuatan dusta ini sehingga dijadikan sebagai tanda orang munafik, oleh sebab itu hendaklah kita menjauhi perkataan dusta walaupun hanya sekadar bergurau. Beratkan!

3. URUS JADUAL DIRI

Orang berjaya bijak urus jadual diri dengan baik. Andai diri tidak boleh diurus dengan baik, bagaimana hendak urus sesuatu yang lebih besar. Contohnya, bagaimana hendak urus pasukan, perniagaan, strategi dan pelbagai lagi perkara yang bersangkut paut dengan kejayaan. Kuncinya adalah urus jadual diri dengan baik. Buat jadual diri dan sentiasa disiplinkan diri untuk patuh jadual diri.

Jadi geng 5 pagi. Mulakan hari seawal pagi. Susun atur aktiviti bermula awal pagi. Mulakan hidup dengan merayu dan sujud pada Allah agar hidup kita menjadi lancar. Lihat Al-Quran dahulu sebelum lihat dunia supaya waktu berkat. Disiplin dan patuh pada jadual diri agar diri sentiasa diurus dengan baik.

4. CEKAP & BERKESAN

Cekap adalah melakukan sesuatu dengan betul dan berkesan adalah melakukan sesuatu yang betul. Ada orang cekap tetapi tidak berkesan.Ada orang berkesan tetapi tidak cekap. Kedua-dua elemen saling bergantung diantara satu sama lain.Kejayaan akan dikecapi apabila kedua-dua elemen ini dapat disatukan dengan baik.

Gerak kerja cekap menyemai hasil yang bagus. Gerak kerja cekap menjimatkan kos dan masa. Ianya juga menjadi kayu ukur kepada sebuah kejayaan. Hasil dari gerak kerja cekap membuahkan kejayaan yang besar. Rancang dengan baik gerak kerja yang hendak dibuat agar keberkesanannya jua memberi bekas. Keberkesanan itu adalah puncak dan tanpa gerak kerja cekap ia adalah mustahil.

Kecekapan itu memerlukan daya keinginan yang tinggi dan komitmen yang jitu. Latihan berterusan perlu bagi melatih diri untuk melakukan sesuatu dengan cekap dan berkesan.

5. ISTIQAMAH

Fasa ini adalah fasa penting untuk memastikan setiap usaha yang telah dilakukan memberi bekas. Allah perintahkan kita yang bermaksud ” Maka istiqamahlah (kamu) sebagaimana yang Aku perintahkan…” (Qs. Hud : 112). Sesungguhnya inti dari istiqamah adalah kesabaran. Untuk memastikan diri terus menerus melakukan sesuatu perkara memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Orang yang tidak sabar tidak akan berjaya menamatkan apa yang telah dimulakan. Kegagalan menamatkan apa yang kita mulakan menyebabkan kita sentiasa jauh dari kejayaan. Kejayaan adalah hasil dari apa yang kita mulakan.

Usah jadi geng kelompok hangat-hangat taik ayam yang mana hanya bersemangat pada mulanya sahaja, tetapi tatkala mula merasai kepahitan dan kesusahan dalam usaha, maka ia akan mula cari alasan untuk mengabsahkan dirinya agar menghentikan usaha yang telah dimulakan. Teruskan momentum perjuangan sehingga titisan yang terakhir. Usah biarkan ia terbang dibawa angin yang berlalu. Apabila buat sesuatu, jika masih belum berjaya, teruskan perjuangan. Bila rasa penat, berehat seketika. Rehatkan badan, tidur sekejap, tenangkan hati dan fikiran sebelum terus memecut laju terus kehadapan. Jangan sekali-kali berundur di tengah jalan. Biarlah kita mati mencuba daripada langsung tidak buat apa-apa.

Antara cara untuk kekalkan momentum diri adalah

  • Perbaiki niat kita. Niat hanya kerana Allah.
  • Berdoa banyak-banyak pada Allah. Usah putus asa dengan pertolongan Allah.
  • Pilih kawan yang suka buat baik. InsyaAllah dia akan sentiasa ingatkan kita.
  • Buat satu persatu. Usah buat semua kerja dalam satu masa, nanti kita akan lelah.
  • Buat selama 40 hari. Usaha satu perkara kekal selama 40 hari berturut-turut.

Adakah anda sedang mencari 

  • Penceramah Motivasi
  • Atau Program:
  • Latihan & Motivasi untuk syarikat
  • Motivasi untuk Pelajar
  • Kepimpinan Pelajar
  • Kem Motivasi Pelajar

Anda boleh hubungi :

  • Talian : 019 986 8346
  • Emel : ciqtraining@gmail.com
  • Laman web : www.ciqtraining.com
  • Isi Borang Online dengan klik butang Seputar Pertanyaan di bawah

Share This

Share this post with your friends!