Pilih satu Halaman

Jom bergembira di Aidilfitri sambil mengumpul pahala akhirat kita.

Assalamualaikum dan Selamat Hari Raya buat anda semua. Semoga semua bergembira bersama keluarga tersayang. Marilah kita bergembira di Aidilfitri sambil mengumpul pahala untuk akhirat kita.

Menyambut Aildilfitri adalah ibadah dalam Islam. Aidilfitri adalah hari kejayaan bagi orang mukmin yang telah berjaya menjalani kursus intensif di bulan Ramadan. Jadi janganlah kita menyambut Aidilfitri seperti perayaan-perayaan lain yang hanya dipenuhi dengan hiburan dan keseronokan semata-mata.

Tidak salah untuk berseronok tetapi biarlah berpada-pada dan tetap berlandaskan kepada syariat. Jangan kita rosakkan amalan 30 hari kita di bulan Ramadan hanya pada hari pertama Syawal. Contohnya, menyambut hari raya tapi tidak solat, tidak tutup aurat dengan sempurna, bersalaman dengan bukan mahram, makan berlebihan dan sebagainya.

Sepatutnya kita nak tambah lagi amalan dan pahala pada Aidilfitri bukannya merosakkan amalan kita. Jadi, terdapat beberapa amalan-amalan yang boleh kita lakukan bagi menambahkan lagi ketaatan dan kesyukuran kita kepada Allah Taala.

Berikut adalah beberapa Sunah yang boleh dilakukan ketika menyambut bulan Syawal :

1. Bertakbir

Umat Islam disunatkan bertakbir dari malam raya sehingga imam mengangkat takbiratulihram untuk solat sunat hari raya. Takbir adalah laungan yang sarat mengandungi makna keagungan dan keesaan Allah s.w.t. Boleh kita ajak keluarga kita berkumpul ramai-ramai dan sama-sama bertakbir memuji Allah s.w.t.

Jika masih dalam perjalanan untuk pulang ke kampung, bolehlah bertakbir sambil memandu bersama keluarga. Dapat jugak pahala. Kita bertakbir tanda kesyukuran dan ketaatan kita kepada Allah Taala. Usah kita sibukkan diri kita hanya dengan lagu raya semata-mata.

2. Mandi sunat, memakai pakaian yang terbaik dan berwangi-wangian

Abdullah bin Abbas berkata

“Rasulullah saw sentiasa mandi pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.” Hadis riwayat Ibnu Majah, no hadis 1315

InsyaAllah apabila niat mandi sebagai ibadah maka kita akan dapat pahala.

Hasan bin Ali bin Abi Talib berkata :

Rasulullah saw telah memerintahkan kami pada kedua-dua hari raya supaya memakai sebaik-baik pakaian, menggunakan wangian yang paling bagus dan menyembelih binatang korban yang paling berharga (mengikut kemampuan) yang kami miliki.” Riwayat al-Hakim

Saya yakin dan pasti bahawa kita semua sudah shopping baju baru untuk sambut Aidilfitri. bukan sehelai, 2 helai atau 3 helai, malah berhelai-helai baju raya kita. Ianya juga sudah menjadi tradisi turun temurun orang Malaysia akan memakai pakaian baru selaras dengan sunah Nabi saw. Maka niatlah untuk mengikut sunah ketika kita pakai baju baru.

Jangan lupa, Sebelum pakai baju tu bacalah doa dulu ye, maka akan bertambah keberkatan dan pahala di Aidilfitri.

3. Makan sebelum keluar rumah

Anas bin Malik ra berkata :

” Rasulullah saw tidak keluar dari rumah baginda pada hari Aidilfitri melainkan baginda makan makan beberapa biji kurma dahulu.Baginda memakannya dalam bilangan ganjil.” Hadis riwayat Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, no. hadis 953

Jadi sunat bagi kita semua makan dahulu sebelum kita pergi menunaikan solat sunat Aidilfitri. Sekurang-kurangnya kita makan ketupat satu pun jadilah jika kita tak nak makan kurma. Yang penting niat kita makan untuk ikut sunah Nabi saw, InsyaAllah kita akan dapat pahala. Doa jangan lupa tau.

4. Solat sunat Aidilfitri di Masjid, dengar Khutbah dan pulang melalui jalan yang berbeza

Selepas makan kita keluarlah menuju ke masjid ye. Jangan pergi terus beraya pula. Walaupun sunat, ianya sangat dituntut dan menjadi sunah Nabi saw. lagi satu nak pesan, khutbah lepas solat tau. Jika kita sampai orang tengah baca khutbah maka kita dah terlepas untuk solat sunat Aidilfitri. Jangan pula habis khutbah pergi tanya tok imam kenapa tak solat pula.

Khutbah Jumaat sebelum solat dan Khutbah aidilfitri selepas solat. Bimbang terlupa jer.

Abu Hurairah ra menceritakan,

“Apabila Nabi saw keluar untuk menunaikan solat dua hari raya, Baginda akan pulang melalui jalan yang bukan jalan baginda lalui tadi.” HR Ahmad no. 8454 HR Tirmizi no.541

Jadi, usahakanlah untuk kita pulang ke rumah melalui jalan yang lain. Jika biasa kita pergi masjid lalu jalan lorong 7 maka ketika pulang kita lalu jalan lorong 9 pula. Yang penting niat kita lakukan adalah untuk ikut sunah Nabi saw. InsyaAllah Allah bagi ganjaran yang baik kepada kita. dah lalu tu, singgahlah ziarah jiran tetangga sekali ye. Jangan bantai terus balik rumah. Rugilah kita. Kita nak bergembira di Aidilfitri sambil mengumpul pahala.

5. Mengucapkan tahniah kepada saudara seislam yang lain, ziarah menziarahi

Selepas solat sunat kita pergilah ziarah rakan-rakan dan jiran tetangga sebelum pulang ke rumah. Ini akan dapat mengeratkan silaturrahim. Kita juga dapat saling bermaafan diantara satu sama lain.

Apabila bertemu, apakah ucapan yang terbaik yang kita wajar ucapkan kepada saudara seislam?

Jubair bin Nufair ra berkata,

“Apabila para sahabat Rasulullah saw bertemu pada hari raya, mereka saling mengucapkan sesama mereka, ‘Moga-mogaAllah menerima amalan kami dan amalan kamu.'” Fath al-Bari karangan Ibnu Hajar al-‘Asqalani, 2/517

Kita juga boleh ucapkan selamat hari raya serta maaf zahir batin. Cuma bezanya, jika kita ada ilmu maka kita akan lebih beruntung. Sebab itu ilmu itu penting. Guru saya pesan, jika nak buat sesuatu biarlah ada ilmunya agar ia tidak menjadi sia-sia.

Tengok, punyalah kasih Allah pada kita, begitu banyak peluang yang diberikan kepada kita untuk mengumpul pahala sambil kita bergembira meraikan Aidilfitri. Tinggal kita jer yang nak buat atau tak nak buat.

Jom kita begembira di Aidilfitri sambil mengumpul pahala.

Semoga Allah menerima amalan saya dan amalan anda semua

Selamat Hari Raya semua, Maaf Zahir dan Batin

Entri sebelum ini – Mencari bahagia dalam ujian

Terima kasih kerana membaca artikel Bergembira di Aidilfitri sambil Mengumpul Pahala

 

Adakah anda sedang mencari 

  • Penceramah Motivasi
  • Atau Program:
  • Latihan & Motivasi untuk syarikat
  • Motivasi untuk Pelajar
  • Kepimpinan Pelajar
  • Kem Motivasi Pelajar

Anda boleh hubungi :

  • Talian : 019 986 8346
  • Emel : ciqtraining@gmail.com
  • Laman web : www.ciqtraining.com
  • Isi Borang Online dengan klik butang Seputar Pertanyaan di bawah

Share This

Share this post with your friends!